Keistimewaan Labu Sayong
Tembikar yang diperbuat daripada tanah liat melalui beberapa proses yang rumit lagi unik sebelum siap sebagai barangan hasil kraf yang bernilai.
Tembikar yang diperbuat daripada tanah liat melalui beberapa proses yang rumit lagi unik sebelum siap sebagai barangan hasil kraf yang bernilai.
Ia dibentuk dan dibakar dalam tanur bagi mengekalkan rupa bentuk tembikar serta bagi memastikan ia mempunyai kekuatan yang lebih dan kalis air.
Di Malaysia, hasil seni tembikar yang terkenal ialah labu Sayong dan pasu Sarawak yang juga merupakan kraf kebanggaan negara dan telah terkenal di seluruh dunia.
Labu Sayong
Perusahaan seni tembikar tradisional ini telah berkembang sejak sekian lama dan masih kekal di beberapa kawasan di negara ini.
Jika dahulu, labu Sayong agak sinonim dengan Bandar Diraja Kuala Kangsar, namun sekarang ia telah mula dibuat di beberapa tempat yang lain kerana permintaan yang begitu menggalakkan.
Dahulu ia hanya dibuat secara kecil-kecilan di rumah, tetapi kini banyak bengkel-bengkel besar telah tumbuh seperti cendawan.
Pada permulaan, labu Sayong hanya berwarna hitam, tetapi kini seiring dengan peredaran zaman, banyak perubahan telah dilakukan terutama dari segi motif corak, warna dan kegunaannya.
Fungsi awalnya sebagai bekas menyimpan air minum di majlis kenduri, telah dipelbagaikan malah kini menjadi salah satu bahan hiasan dalaman yang diminati.
Seni tembikar ini ialah hasil seni kraf tangan yang diperbuat daripada tanah liat yang diuli, diterap dengan pelbagai corak, diasapkan serta dibakar untuk menghasilkan satu rupa bentuk yang sungguh berseni dan unik.
Wujudnya labu hitam ini daripada buah labu tua yang dikeluarkan isinya dan dibersihkan sebelum dijadikan bekas untuk menyimpan air.
Keistimewaan labu hitam ini ialah airnya yang sejuk dan dipercayai boleh menawarkan beberapa jenis penyakit seperti batuk dan demam panas. Ia juga digunakan sebagai bekas air sewaktu menziarahi tanah perkuburan.
Labu sayong menekankan sifat semula jadi iaitu tanah liat serta teknik penggunaan tangan. Rekaan corak permukaannya dihiasi dengan motif alam sekitar seperti motif bunga padi, pucuk rebung, bunga cengkih dan juga calaran-calaran geometrik yang harmoni.
Pasu Sarawak
Pasu Sarawak adalah hasil kraf yang membawa kembali tamadun manusia yang berusia 1,000 tahun Sebelum Masehi yang menggunakan tangan dalam membuat peralatan memasak dan kegunaan rumah tangga.
Namun, perubahan demi perubahan kepada seni kerja tangan seramik Sarawak ini telah terbukti berjaya menggamit hati peminatnya. Inilah salah satu produk yang wajib dibawa balik sebagai cenderamata sekiranya pergi ke Sarawak.
Penemuan pasu Iban di Gua Niah, Sarawak, membuktikan kerja tangan ini telah wujud sejak beratus tahun yang lampau. Antara kaum pribumi yang mewarisi kerja tangan ini adalah orang Iban.
Penghasilan pasu Iban dipercayai mempunyai unsur-unsur kerohanian kerana fungsinya lebih ke arah upacara-upacara rasmi kaum Iban. Kini pasu-pasu itu bukan sahaja dijadikan bekas minuman tetapi telah dipelbagaikan kepada barangan hiasan dalaman seperti lampu sisi, bekas payung, pasu bunga, bekas pot puri, tempat habuk rokok dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment